Thursday, May 24, 2018

Puisi Padang


Sekali lagi saya berlibur ke Indonesia, kali ini Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera Barat. Sekali lagi? Ya,  sekali lagi sebab saya baru saja melawat Jogjakarta,  pada akhir tahun lepas. Belum pun sampai enam bulan.

Saya suka melihat Indonesia. Negerinya besar dan berbagai. Kos kembara sangat berpatutan, makanannya "mind-blowing", bahasa pun hampir sama, dan tukaran Ringgit yang lumayan membolehkan kita berlagak jutawan, walaupun hanya seketika.

Bila berbicara dengan orang Indonesia, kita akan terpegun dengan nada dan lenggok bahasanya yang sangat licin dan kemas. Setiap orang Indonesia boleh menjadi ahli politik atau pengacara TV.  Saya pernah ke rumah sahabat karib yang mempunyai seorang pembantu rumah dari Surabaya. Saya dapati bibik ini jauh lebih sopan dan bagus kawalan bahasanya berbanding dengan sahabat saya (orang Pulau Pinang). 

Sebenarnya ini kali pertama saya menulis blog dalam bahasa ibunda. Mungkin bukan bahasa ibunda pun. Bahasa ibunda saya ialah bahasa Kelantan, bahasa yang paling romantis di dunia. Bahasa Melayu adalah bahasa kedua saya. Mungkin tuan-tuan sudah terasa kejanggalan cara saya menulis, kerana salah atau kurang tepat di segi diction, nahu dan sebagainya. Namun selagi tuan-tuan boleh memahami apa yang saya ingin sampaikan, saya rasa saya sudah berjaya menulis dengan baik dan berkesan.

Saya selalu menulis dalam English. Ini bukan bermakna English saya sangat bagus dan tentunya bukan saya mahu mendewa-dewakan bahasa asing. Cuma English lebih kaya perbendaharaan katanya. Terdapat 170,000 perkataan English dalam Oxford English Dictionary. Untuk mencarut sahaja terdapat berbagai perkataan, rangkaikata dan peribahasa yang boleh saya pilih dengan impaknya yang berlainan juga.

Mengikut seorang guru bahasa Melayu saya dulu, perkataan Melayu yang asal cuma tiga: besi, padi, dan babi. Ada pula guru lain, yang mungkin lebih pandai, kata bukan tiga, tetapi empat: besi, padi, babi, ubi. Apapun, bagaimana mungkin saya menulis dengan tiga atau empat perkataan? Hahaha. 

Bila saya mula menulis tadi pun saya termangu buat seketika. Apa harus saya panggil atau bahasakan diri saya? Saya, aku, ana? "Saya" agak formal dan terasa seperti di bangku sekolah. "Aku" pula lebih personal dan mungkin agak puitis, mungkin kasar juga. "Ana" bahasa Arab, nanti saya dikecam sebagai peminat wahabbi.  Kalau English lebih mudah, "I" saja sudah memadai. Untuk lebih selamat, saya guna "saya". Lagipun saya sudah lebih 35 tahun menggunakan "saya" bila berhubung dengan isteri, di waktu siang dan juga malam.   

Berbalik kepada Indonesia. Saya ke Padang dan Bukit Tinggi selama empat hari pada bulan lepas (April). Saya bukan berseorangan, tetapi bersama enambelas ahli keluarga - isteri, anak, adik-adik ipar, dan anak-anak saudara. Agak letih juga saya kerana empat orang adik ipar perempuan dewasa yang ikut sama boleh tiba-tiba saja hilang entah kemana. Kemudian mereka akan muncul kembali sebaik saja supir menaiki bas. Mungkin mereka ni ada sixth sense (deria keenam?) atau ilmu ghaib yang boleh membaca pergerakan pak supir tu.

Lawatan ini merupakan pengalaman yang penuh aksi atau action-packed dan tidak  mudah saya lupakan. Namun kali in saya tidak akan menulis dan menceritakan perihal tempat-tempat yang kami lawati di Padang dan Bukit Tinggi. Tuan-tuan boleh baca blog-blog lain atau Wikipedia atau mendengar terus dari kawan-kawan yang telah ke sana atau tuan-tuan boleh saja menonton sinetron.

Saya cuma ingin meluahkan apa yang saya rasa dan fikirkan semasa berada di sana, dalam bentuk catatan atau coretan  yang dipelbagaikan dengan sebuah puisi mudah. Saya tekankan "puisi mudah" untuk membezakannya dengan "sajak kabur" yang, bagi saya, sangat "stressful". Jika tuan-tuan tidak meminati sastera sebab sewaktu di kolej dulu tuan-tuan hanya belajar Kalkulus dan Kimia Organik, tuan-tuan bolehlah memilih untuk tidak terus membaca blog ini. Tak apa-apa. Saya tenang saja.

Nama Padang sangat bermakna dan penuh nostalgia buat saya kerana ia lantas mengembalikan masa lampau saya. Masa saya bersekolah di darjah lima dan enam (tahun-tahun 60an) saya sangat meminati buku-buku Indonesia, terutamanya novel-novel yang ditulis oleh penulis-penulis agung Indonesia, antaranya ialah Hamka, Marah Rusli, Sutan Takdir Alisjahbana, Abdul Moeis dan Mochtar Lubis. Mungkin nama-nama ini asing bagi tuan-tuan, seperti asingnya nama menteri-menteri kabinet Pakatan Harapan yang dilantik baru-baru ini.

Yang paling menyentuh perasaan ialah novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck oleh Hamka dan Siti Nurbaya oleh Marah Rusli. Saya baca novel-novel epik ini berkali-kali. Buya Hamka dilahirkan di Bukit Tinggi dan Marah Rusli di Padang. Tidak hairanlah novel-novel ini bertemakan cinta dan pergeseran  di antara adat atau  tradisi Minangkabau dengan pemikiran moderen dan progresif Belanda di daerah Padang dan Bukit Tinggi. Watak-watak utama seperti Siti Nurbaya, Datuk Maringgih, Hayati dan Zainuddin masih saya kenang sampai hari ini. Jalan ceritanya mungkin mudah dan klise, tetapi olahan, plot dan bahasanya sangat mengasyikkan.

Bagi anak-anak perempuan saya yang sudahpun tercandu dengan drama dan pop Korea yang kencang dan panas, cerita Indonesia sebegini tentunya hambar, perlahan dan membosankan. Bila saya mendengar lagu lagu-lagu Ahmad Jais dan Uji Rashid, mereka sengaja ikut menyanyi secara "out of tune" sambil ketawa. Mereka ni memang tidak  mengikuti novel-novel  dan lagu-lagu klasik Melayu. Mereka lebih menggemari Instagram.

Kami menyewa bas 25-bangku yang sangat selesa untuk sepanjang tempoh kembara kami. Perjalanan dari Padang ke Bukit Tinggi agak mencabar kerana jalannya yang sempit, sesak, mendaki dan berliku. Tetapi pemandangannya sungguh memukau. Pemandu pelancung kami (namanya Pak Unchu) tidak henti-henti menghiburkan kami dengan rentetan lawak jenaka. Kalau dia tidak berjenaka dia akan memainkan lagu Minang sepanjang zaman "Ayam Den Lapeh" berkali-kali.

Dengan nada yang serius dia menyatakan ayam dalam lagu tu sebenarnya bukan ayam, tetapi simbolik atau metafora. Ayam tu mungkin cewek, cowok, suami, isteri atau apa saja yang boleh terlepas dari genggaman kita. Saya sudah lebih 40 tahun dengar lagu ni, bagi saya ayam tetap ayam, bukan isteri.

Apa pun, saya rasa Pak Unchu mesti kemaskinikan sedikit lawak jenaka dengan bahan-bahan yang baru dan "contemporary" sebab banyak  lawaknya yang agak usang. Ada yang saya sudah dengar semasa saya masih bujang dulu. Kini saya telahpun mempunyai tiga orang cucu. Jangan marah Pak ya. Tenang saja.

Kami tempuhi bukit, lurah, tasik, sungai, air terjun, kebun jeruk, dan puncak gunung. Seorang adik ipar saya yang sangat mencintai alam dan pokok-pokok kayu terus jatuh cinta  dengan daerah ini. Di sepanjang jalan terdapat sangat banyak masjid, surau, musolla dan sekolah ugama, sesuai sekali dengan daerah yang dibangun dengan pegangan ugama yang sangat kuat. Saya dapat bayangkan Hayati dan Zainudin, watak utama dalam Tenggelamnya kapal van der Wijck,  juga pernah melalui jalan ini, walaupun mereka cuma hasil imaginasi Buya Hamka.

Saya sangat terpikat dengan nama-nama bandar dan perkampunagn di sini: Padang Panjang, Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Tanah Datar, Puncak Lawang, Lembah Anai, Paya Kumbuh dan banyak lagi. Kami makan di rumah makan Lamun Ombak.

Nama-nama gandingan dan bersajak begini lebih sejuk dan lunak berbanding dengan nama-nama tempat di Malaysia yang kering dan kaku, seperti Gombak, Gebeng, USJ, dan restoran Kak Wok.  Ternyata orang di daerah Minagkabau ini memang seniman semulajadi yang kreatif dan sukakan nilai-nilai estetika.(Betul ke bahasa Melayu saya ni? Bunyinya mirip iklan ubat pemutih muka).

Seperti yang dijanjikan saya tidak akan bercerita tentang tempat-tempat yang kami lawati, kecuali dua tempat, iaitu Rumah Gadang Istana Basa Pagar Ruyung dan Tasik Meninjau.

Istana Pagar Ruyung yang terletak di bandar kecil Batu Sangkar ini wajib dilawati jika ke Bukit Tinggi. Inilah istana peninggalan kerajaan Minangkabau Pagar Ruyung yang telah lama terhapus di Sumatera Barat. Mengikut sejarah, kerajaan Negeri Sembilan hari ini juga berasal dari Pagar Ruyung, termasuklah adat dan loghatnya. Maaf, itu saja yang saya tahu. Kalau tuan-tuan ingin tahu lebih lanjut, boleh hubungi Pak Unchu. Tuan-tuan boleh minta koleksi lawak jenakanya sekali. Hahaha.

Saya rasa siapa saja arkitek dan penggemar senibina yang melihat Istana Pagar Ruyung ini pasti akan tertawan dengan keindahan, kegagahan dan keaslian seninya. Keanggunannya bukan terletak pada rekabentuk luarannya sahaja, tetapi juga pada makna yang tersirat di setiap bahagian atau elemen istana ini: tingkap, kamar, bumbung, tirai dan sebagainya. Sebenarnya istana yang saya lihat itu bukanlah istana ysng asal, tetapi istana yang dibina semula dengan rekabentuk asal pada tahun 2008. Istana yang asal telah punah dipanah petir dan terbakar hangus kesemuanya.




Tempat kedua ialah Tasik Meninjau. Kami singgah di sini dalam perjalanan pulang dari Bukit Tinggi ke Padang. Panorama tasik ini dari Puncak Lawang sangat menakjubkan. Di daerah inilah juga tempat kelahiran Alamarhum Hamka, dan saya terasa seolah-olah beliau ada bersama-sama kami hari itu. Sebak juga saya menahan perasaan.

Udaranya sejuk, persekitarannya amat tenang dan bersih, jauh dari keributan kota dan manusia. Fahamlah saya kenapa Buya sangat versatile, kreatif dan expressive. Beliau dibesarkan dalam persekitarannya yang amat subur dan merangsangkan. Beliau adalah pelajar, pengajar, penulis, ulama, pendakwah dan pemimpin agung tersohor dan disanjung bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaysia. Buku--buku ugama yang ditulis oleh Hamka, seperti Tafsir al Azhar, masih menjadi bahan rujukan ramai sehingga ke hari ini.




Perjalanan dari Tasik Meninjau ke Padang mengambil masa hampir empat jam merentasi Banjaran Bukit Barisan dengan pemandangan yang "breath-taking". Fikiran saya masih di awang-awangan, berlegar di sekitar manusia berjiwa besar, Buya Hamka.

 Entah kenapa, saya rasa terpanggil, bahkan tercabar, untuk turut menulis dan menjadi kreatif seperti beliau. Semasa saya di sekolah menengah saya pernah juga menulis puisi, kebanyakannya berbentuk lantang, sosialis dan marah-marah. Mungkin sekarang masanya untuk menghidupkan kembali api yang terpadam sejak hampir 50 tahun yang lalu.

Saya bergegas membuka Samsung Note saya dan mula melakar puisi tentang perjalanan dan pengalaman singkat saya di Bukit Tinggi. Ahli keluarga yang lain leka menonton DVD filem "Tenggelamnya Kapal van der Wijck", diselangi oleh Pak Unchu dengan cerita dan jenaka yang disambut dengan hilai ketawa adik-adik ipar saya. Tetapi saya sebenarnya tidak mendengar apa-apa kerana dihanyutkan oleh cita-cita, impian dan semangat baru yang meluap-luap untuk menulis dan berkarya.

Hampir tiga jam saya memikir, mencari dan memilih ilham. Saya menulis, memadam dan menulis lagi untuk dijadikan satu rangkaian puisi yang saya yakin tidak akan mengecewakan Buya Hamka jika beliau membacanya. Inilah hasilnya, puisi saya tulis di daerah kelahiran Almarhum:                                      
  
   
Puisi Padang I

Apakah yang kucari
di antara batu dan bukit ini
lurah pecah dan liku seribu
kebun subur dan air dingin
tasik luas dan sungai deras.

Kususuri daerah lama ini
mengimbau lipatan sejarah
menyingkap pustaka silam
merungkai hasrat yang tersimpan
bukit tinggi padang panjang
pagar ruyung batu sangkar
seri menanti datuk tampin
kuala pilah kampung pandan.

Melewati rumah gadang
dan istana gagah
terhenti di tengah langkah
terdetik di puncak hati.
bagaimana akan aku maknakan
beratus isyarat dan aturan ini
bumbung tirus dan anjung lurus
tiang tegap tapi miring
tingkap lebar menyambut angin
tirai tujuh dan ruang sembilan
kamar sempit mengurung perawan.

Rapuh hidup ini
kuat dan kuasa hanya
singkat dan sementara
akhirnya kalah, rebah dan sepi
dilanda arus waktu
dan rencana alam.


Baca sekali lagi rangkap terakhir. Ianya tercetus dari keinsafan saya bila melihat footage Istana Pagar Ruyung yang terbakar dan mengenang keruntuhan kerajaan Minangkabau setelah begitu lama berkuasa. Jujur saya katakan sewaktu menulis terlintas juga di fikiran saya tentang kerajaan Melayu di Malaysia yang sekian lama berkuasa. Saya tulis puisi ini pada 24 April. Pada malam 9 Mei, dua minggu kemudian, kerajaan Melayu Malaysia tewas, lantas hilang semua kuasanya.

Saya rasa saya tidak mengecewakan Hamka.