Seperti yang dijanjikan, saya luncurkan bahagian kedua catatan kembara epic kami, iaitu ke Egypt selama lima hari dari 8 Oktober ke 13 Oktober 2025. Ini merupakan sambungan kepada catatan perjalanan ke Turkiye seminggu sebelumnya (31 Sept - 7 Oktober).
Untuk catatan ini, saya akan gunakan nama Egypt dan Cairo, dan tidak versi Melayu iaitu Mesir dan Kaherah. Tiada siapa lagi yang menyebut Mesir dan Kaherah kecuali pembaca berita TV1.
Kembara kami ke Egypt tidak kurang debaran dan dramanya. Banyak momen-momen manis dan cemas yang kami lalui. Sebelum kami ke sini, kami telahpun sedia maklum tentang keadaan kelamkabut atau chaotic di Cairo dengan crowd dan trafik yang huru hara.
Anak saya sendiri pernah ke Egypt pada tahun 2024 dan dia akui keadaan di Cairo sangat mencabar kesabaran kita. Cairo tidak boleh dibanding dengang Istanbul yang cultured dan sophisticated, jauh sekali dengan Paris atau London.
Jadi kami memang bersedia dengan apa saja kemungkinan. Dan saya tidaklah meletakkan expectation yang terlalu tinggi. Kalau saya dapat pulang ke Malaysia in one piece sudah memadai.
Menyedari keadaan yang berbeza ini, kami tidak menyewa kereta dan memandu sendiri seperti di Turkiye. Kebetulan beberapa orang pelajar Universiti Al Azhar ada menawarkan khidmat pengangkutan dan tourist guide dengan harga yang sangat affordable.
Kami menggunakan pakej salah seorang pelajar yang telah lama di Cairo bernama Amin Nur Rashid. Pakejnya termasuk pengangkutan dan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Cairo dan luar Cairo.
Kami disediakan dengan sebuah van 13 seater dengan driver van bernama Hamed (orang Egypt) dan guide bernama Daey (Orang Gombak). Hamed dan Daey menemani kami di sepanjang perjalanan di Egypt, dari masa ketibaan kami pada 8 Oktober hingga kami berangkat pulang pada13 Oktober.
Debaran Di Cairo Airport - 8 Oktober
Setelah dua jam berlepas dari Istanbul, kami tiba di Cairo Airport jam 4.20 pagi. Tekejut juga saya sebab Cairo Airport besar dan modern, dan agak sibuk walaupun pada awal pagi.
Security check bermula sebaik saja kami keluar dari pesawat menuju ke kaunter imigresen. Ada seorang pegawai beruniform yang melihat setiap passport. Berdebar jugak saya bila melihat beberapa orang di hadapan ditanya bermacam soalan sebelum dilepaskan.
Bila sampai giliran saya dan Maklong, kami cepat-cepat hulur passport merah Malaysia. Tanpa sepatah kata dia lepaskan kami. Ternyata passport Malaysia Madani sangat kuat di Egypt. Atau mungkin sebab kami super senior dan good-looking (haha), tak ada ancaman kepada Egypt.
Imigresen dan baggage pun cepat, tanpa masalah. Beg Amir dan Alya yang sama besar dengan Amir dan Alya tu pun sampai dengan selamat. Kami semua berkumpul di balai ketibaan untuk solat subuh dan freshen up. Seperti biasa, Pakcu sangat lama di toilet.
Di balai ketibaan ini pun kami telah disajikan dengan sentuhan sejarah Egypt yang beribu tahun. Kelihatan arca firaun dan isteri dan sosok-sosok lain yang saya tidak kenali. Tercegat saya menghayatinya.
Tiba-tiba talipon saya berdering, guide kami Daey sedang menunggu di luar. Dia kata dia nampak kumpulan kami dari luar dan dia boleh agak yang mana satu saya. Hahaha. Mungkin masa tu saya dengan Amir saja lelaki (Pakcu masih di toilet).
Setelah selesai solat subuh, kami keluar dan disambut oleh Daey yang ternyata seorang yang masih muda dan mesra.
Kerana terlalu awal, Daey terus cadangkan kami breakfast dulu. Tak ada siapa yang tak setuju dengan cadangan yang murni ni. Kami terus dibawa ke satu restoran orang Patani. Sendu juga rasanya saya bila terdengar orang bercakap pelat Kelantan.
Setelah agak lama menunggu dengan penuh debaran, akhirnya nasi lemak dan roti canai sampai. Kami pun makan dengan tekun dan syahdu, tanpa sepatah kata.
Hotel Yang Hilang - 8 October
Untuk penginapan di Cairo saya booked dua tempat berlainan. Untuk dua malam pertama saya booked Magia Pyramids View Inn di Giza. Untuk tiga malam berikutnya, saya booked Homestay Moon Homes di downtown Cairo. Sengaja kami booked tempat yang berlainan untuk merasai vibes yang berbeza.
Hotel Magia letaknya berhampiran pyramid di Giza. Dari rooftop hotel kita boleh lihat pyramid dari jauh. Satu pemandangan yang pasti menakjubkan. Memang strategic kedudukan hotel ni dan saya tak sabar untuk merasai suasananya.
Selepas breakfast kami terus saja ke Giza, lebih kurang 10 km di luar Cairo. Rancangan kami adalah untuk terus check in di Hotel Magia. Tak sabar saya nak masuk bilik, mandi dan terus keluar melihat pyramid.
Cuma ada satu masalah: Hotel ni tak ujud.
Kami tak jumpa hotel ni. Puas saya dan Daey ke hulu ke hilir dan bertanya, namun hotel ni tak dapat dikesan. Saya mesej dan talipon pun tak ada jawapan.
Inilah Cairo, tuan-tuan.
Sudah 45 tahun saya mengembara ke luar negara, tak pernah saya lalui masalah hotel hilang.
Akhirnya kami pasrah. Memang bukan rezeki kami untuk merasai hotel di Giza.
Nasib kami baik ada kekosongan di homestay Moon Homes, jadi kami terus saja booked dan menginap di situ selama lima malam. Mungkin ada hikmah juga, sebab kami tak perlu berpindah randah.
Moon Homes terletak di Noubar Street, di tengah-tengah downtown Cairo, lebihkurang 400 metre dari Tahrir Square, satu landmark terkenal di Cairo. Walaupun ada address, letih juga kami mencari Moon Homes, sebab tiada signage dan apa-apa tulisan. Nasib baik Daey fasih bahasa Arab. Saya yang fasih bahasa Kelantan cuma ikut saja.
Akhirnya kami jumpa. Ia terletak di tingkat 6 sebuah apartment di belakang deretan kedai. Kami merasa lega sebab ada lift. Rupanya dinding lift tu separuh terbuka. Dari luar kami boleh nampak separuh badan Makngah dalam lift. Hahaha. Kami guna lift ini dengan penuh debaran sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Tetapi homestay ternyata bersih dan selesa, cukup dengan kemudahan memasak dan laundry. Air paip pun mengalir tanpa putus-putus seperti di Subang Jaya.
Mencari Cleopatra Di Alexandria - 9 October
Hari ini kami keluar dari kota Cairo menuju Alexandria.
Alexandria adalah kota kedua terbesar di Eygpt, letaknya lebih kurang 200 km ke utara Cairo. Ia mengambil nama pengasasnya iaitu Alexander The Great atau Iskandar Zulkarnain. Orang Melayu pernah memanggilnya Iskandariah. Tetapi pelajar-pelajar Melayu di Egypt memanggilnya Alex sahaja kerana mereka malas nak menyebut Alexandria. Biasa la Melayu.
Kerana kedudukannya di pesisir pantai Mediterranean, cuaca dan rekabentuk bangunan ada sedikit imbasan Europe. Cantik kota ini dengan facade dan waterfront yang lively walaupun tidak dijaga dengan baik.
Perjalanan kami melalui Cairo-Alexandria Freeway, tegak lurus merentasi gurun Sahara. Ianya memakan masa hampir tiga jam, termasuk toilet breaks di R & R yang tidak memberansangkan. Di R & R saya dapat "tangkap" ramai orang Kelantan yang datang melancong selepas umrah atau datang melihat anak-anak mereka yang belajar di Egypt. Jelas kelihatan kegembiraan di wajah mereka semua.
Banyak juga tempat yang kami jejaki di Alexandria, termasuklah Qaitbay Citadel, Bibliotheca Librari Alexandria, Makam Luqmanul Hakim, dan Masjid Abu Abbas. Kami makan seafood di restoran yang mengadap Laut Mediterranean. Terasa seperti orang rich dan famous buat seketika.
Saya tertarik dengan bangunan librari Bibliotheca dengan senibina dan garisan luar dan dalamnya yang unik dan stylish. Cuma sayang akhir-akhir ini librari tidak lagi dikunjungi ramai, tidak seperti sewaktu saya belajar dulu. Saya pernah beberapa kali tertidur dalam librari semasa di UKM. Saya tidak terkejut jika suatu hari nanti Bibliotheca yang tersergam indah ini akan menjadi white elephant.
Saya terserempak dengan patung Alexander The Great di luar Bibliotheca. Tetapi tidak kelihatan langsung monumen atau kesan-kesan sejarah anak kelahiran Alexandria yang terkenal, iaitu Cleopatra. Ini amat menghairankan. Mungkinkah kerana kehidupannya yang penuh kontroversi maka dia tidak perlu diingati?
Cleopatra dikatakan memerintah Egypt selepas berkahwin dengan adiknya sendiri. Dia juga bercinta dengan Julius Caesar, tetapi mengahwini Mark Antony (kawan baik Julius Caesar, bukan penyanyi tu). Adakah Cleopatra secantik Elizabeth Taylor yang pernah melakonkan watak Cleopatra? Tiada siapa yang tahu.
Kami leka merayau di Alexandria sehingga tidak mempedulikan Daey lagi. Selepas solat Maghrib di Masjid Abu Abbas baru kami berangkat pulang. Bila sampai di homestay jam 10 malam, kami semua rebah kelaparan.
Terjumpa Harta Karun Di Fayoum - 10 Oktober
Kami keluar lagi, kali ini ke Fayoum, sebuah kota padang pasir, 120 km ke selatan Cairo. Saya tak pernah dengar nama Fayoum ni. Jadi saya tertanya-tanya juga apa yang ada di Fayoum.
Sekali lagi kami merentasi gurun Sahara. Perjalanan kami memakan masa dua jam, termasuk berhenti sekejap melihat kincir air Nabi Yusof. Saya tidak pasti samada kincir ini benar-benar ciptaan Nabi Yusof atau cuma gelaran saja. Yang saya tau Nabi Yusof adalah seorang yang sangat ganteng, sehingga belakang bajunya koyak rabak ditarik oleh seorang wanita.
Fayoum sebenarnya sebuah oasis yang bersekala besar, katanya yang terbesar di seluruh Egypt. Kami singgah di sebuah penempatan atau perkampungan kecil bernama Wadi El Rayyan yang terdapat anak sungai atau wadi dan air terjun. Saya lihat tempat ini kering kontang, yang ada cuma beberapa pokok tamar dan padang pasir.
Apa yang saya tau oasis ujud dan berkembang di padang pasir kerana terdapat punca dan takungan air, dan di Fayoum sumber airnya ialah Tasik Qarun. Ia mengambil nama Qarun, iaitu sepupu Nabi Musa AS dan seorang billionaire Yahudi yang angkuh dan tamak. Orang Melayu yang tiba-tiba menjadi kaya biasanya disyaki mendapat harta karun (Qarun). Kalau terlalu banyak, mungkin SPRM akan datang siasat.
Kami sempat ikut solat Jumaat di sebuah masjid kecil di kampung ini. Saya rasa khatibnya bukan imam rawatib sebab dia masih muda dan hanya memakai jeans dan teeshirt sahaja. Mungkin pengembara seperti kami juga.
Sebelum berangkat pulang ke Cairo, kami sempat singgah untuk makan tengah hari di sebuah restoran yang mengadap Tasik Qarun. Masih terasa kelazatan ikan bakarnya yang fresh, memang simple tetapi memang out of this world.
Fayoum bukanlah sesuatu yang menakjubkan seperti Istana Alhambra di Granada, Spain, atau Taj Mahal di Agra, India. Namun ianya tetap satu pengalaman yang bermakna juga bagi saya. Inilah pertama kali saya melihat oasis di depan mata sejak saya mula belajar mengenainya semasa Darjah 6 hampir 60 tahun dahulu. Bersolat Jumaat di situ adalah icing on the cake.
.jpeg)
Berdepan Dengan Firaun Khufu Di Giza - 11 Oktober
Hari ini merupakan kemuncak kembara kami ke Egypt - kami akan melawat the Pyramids of Giza, salah satu tujuh keajaiban asal dunia. Apa yang telah kami lihat dari foto dan YouTube, hari ini kami akan lihat secara first-hand dan real-time.
Giza terletak cuma 10 km dari homestay kami di Cairo. Dalam masa setengah jam kami sampai di pintu masuk kompleks pyramid Giza. Ramai pelancong menunggu untuk masuk, dan kami terus berbaris sementara guide kami Daey membeli tiket di counter.
Kami menaiki hop-on hop-off bas menuju ke lokasi pyramid dan melihat secara dekat. Terdapat tiga pyramid di sini, iaitu Khufu, Khafre dan Menkaure, semuanya sempena nama Firaun. Di hujung sekali terletak Sphinx yang berkepala manusia dan berbadan singa.
Pertama kali saya berdepan dengan pyramid Khufu (yang terbesar di antara tiga pyramid), saya seperti tidak percaya. Saya benar-benar dumbstruck dan speechless. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya pyramid sebegini besar, jauh melangkaui apa yang saya jangkakan. Rumah saya tingginya 25 kaki. Pyramid ni 500 kaki tingginya, 20 kali ganda!
Di sinilah Firaun Khufu disemadikan. Kalau inilah tempat terakhirnya, bayangkan kemewahan dan kuasa yang dimilikinya semasa dia hidup. Mereka menganggap merekalah yang paling berkuasa. Setiap yang kata-katanya menjadi undang-undang.
Kita dapat bayangkan cabaran getir yang dilalui oleh Nabi Musa AS untuk meyakinkan para Firaun ini yang Allah maha berkuasa dan mereka mesti menyembah Allah.
Lama kami di kompleks pyramid Giza, berpindah dari satu pyramid ke satu pyramid, dan berakhir di Sphinx. Saya tertanya-tanya juga kenapa Firaun membina Sphinx. Mungkinkah dia dah bosan dengan bentuk pyramid? Sphinx tidaklah sebesar pyramid, rasanya besar sedikit dari Sphinx di Sunway Pyramid.
Makdi dan anak-anaknya sempat menunggang unta. Mahal juga bayarannya, tetapi program yang sepatutnya satu jam berakhir tak sampai setengah jam. Lama juga dia berdialog dengan Pak Arab scammer tu. Saya risau juga sebab blood pressure dia mudah mencanak, dan suaminya jauh di Malaysia.
Ini tidaklah mengejutkan. Kami sedia maklum Cairo memang terkenal dengan scammmers dan con artists. Di mana-mana sahaja, di masjid-masjid pun, ada saja orang datang dengan berbagai cerita dongeng untuk kita dipaksa bersedekah. Sediakan loose change dan hold no grudges.
Najib Dan Rosmah Di Pasar Khan El Khalili - 12 Oktober
Hari ini hari terakhir kami di Cairo. Esok pagi kami akan berlepas pulang ke tanah air tercinta.
Kami lawati Kubu Salahuddin Al Ayyubi dan beberapa makam dan masjid, termasuk masjid Al Azhar. Lawatan kami berakhir di Pasar Khan El Khalili, yang terletak bersebelahan Masjid Saidina Ali.
Pasar ini sangat terkenal, sepertimana Grand Bazaar di Istanbul. Tetapi Pasar El Khalili ni agak crowded, chaotic dan berkecamuk. Para penjual lebih bising dan suka menjerit-jerit. Di sini kita diwajibkan untuk tawar-menawar sampai letih.
Belum sampai satu lorong saya dan Maklong sudah hilang minat. Barang-barangnya hampir sama dan tidak berkualiti walaupun harganya murah. Setiap kedai ada jual replica tiga pyramid. Kami meninjau-ninjau cadar Egyptian cotton, langsung tak kelihatan.
Akhirnya kami masuk satu kedai jubah. Pekedai Arab tu tersenyum lebar dan bertanya "Malaysia?". Bila kami mengangguk, dia terus menjerit Rosmah! Najib! Hadi Awang! Tuan Guru Haji Hadi pun dia masuk sekali Hahaha.
Barulah kami bersemangat. Sangat peramah pekedai ni, dan nampak genuine, tidak pushy. Kami terus masuk, dan kelihatan berbagai jubah perempuan yang anggun dan contemporary. Lama juga kami di sini. Maklong memilih dan mencuba, sambil saya dan pekedai bersembang diselingi gelak ketawa. Maklong beli dua helai setelah dirasuk aura Rosmah. Harganya sangat mampu-milik walaupun diskaun sedikit sahaja.
Sampai Jumpa Lagi - 13 Oktober
Jam tujuh pagi kami sudah berhimpun di Cairo Airport untuk flight balik ke Malaysia. Semuanya berjalan lancar. Jam 10 pagi flight Turkish Airlines TK 691 berlepas meninggalkan Cairo menuju Istanbul.
So long, Cairo. Sampai jumpa lagi.
Kami transit di Istanbul Airport selama empat jam sebelum menaiki flight TK 62 ke Kuala Lumpur.
Kami mendarat di KLIA pada jam 9 pagi 14 Oktober.
Akhir Kata: Beauty Is Pain
Tiada kata untuk saya gambarkan betapa enjoyable dan memorable kembara kami di Turkiye dan Egypt selama dua minggu. Mengembara bersama ahli keluarga memang luar biasa kerana ianya memberi ruang untuk kami rebonding dan mempamirkan bakat terpendam. Inilah masanya adik-beradik dan anak-beranak yang sekian lama tinggal berasingan untuk kembali tidur sebilik.
Sebelum pergi ke Egypt, saya tidak meletakkan harapan dan expectation yang terlalu tinggi apabila mendengar cerita-cerita yang kurang menyenangkan seperti scams, manusia terlalu ramai, cuaca panas dan berdebu, traffic jams dan bermacam-macam lagi.
Tetapi setelah mengalami dan melihat sendiri keadaan, saya rasa Egypt adalah unik, original, dan jauh mengatasi expectation saya. Saya highly recommend. Jika ada kesempatan, saya ingin ke Cairo lagi dan melihat tempat-tempat lain seperti Luxor dan Aswan.
Saya suka dengan keadaan kelam kabut, bising dan bangunan-bangunan lama dan lusuh di Cairo. Saya sudah biasa dengan suasana yang hampir sama di Kota Bharu.
Masjid-masjid di Egypt semuanya cantik tak terkata dengan ukiran dalam yang memukau. Makanannya lazat dan jauh lebih murah dari Iskander Kebab di Turkiye.
Di masjid dan di mana saja kita mungkin tidak semena-mena didatangi oleh seseorang yang ingin menolong kita walaupun kita tak perlukan pertolongan. Anggaplah itu peluang untuk kita bersedekah. Sediakan wang kecil secukupnya dan jangan rasa kesal dan tertipu.
Saya dapat rasakan kegembiraan di kalangan generasi muda (Wani, Yasmin, Alya, Suhail dan Amir) di sepanjang perjalanan, walaupun itinerari kami lebih sesuai untuk generasi tua. Lama juga mereka bersiap dan memilih kasut sebelum keluar. Bila balik, kaki mula sakit dan otot-otot mula tegang, mungkin kerana memakai kasut pejabat. Kata mereka "Beauty is pain". Hah.
Kami akui tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk menjelajah setiap ceruk dan penjuru tanah Turkiye dan Egypt. Setiap detik dan tempat yang kami lalui adalah satu penemuan atau pengalaman untuk kami pelajari dan insafi betapa kaya dan berbagainya sejarah, budaya dan peradaban di bumi anbiya ini.
Syukur dan segala pujian kepada Allah di atas rezeki dan kurniaan ini.
.jpeg)

.jpeg)


.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)

.jpeg)


.jpg)
.jpg)
.jpg)
