Sunday, February 15, 2026

Cleopatra & Cappadocia - Kenangan Terindah (Part 1)

Cleopatra & Cappadocia - Kenangan Terindah

 


Sekali lagi kami mengembara. Kali ini lebih jauh, lebih lama, lebih mencabar. 

Kami ke Turkiye dan Egypt (Mesir), dari 30 September ke 13 Oktober 2025. 

14 hari, 13 malam yang penuh aksi (action-packed) yang mendebarkan. Hahaha.

Kami mengembara secara sendiri atau DIY. Tiket, itinerari, makan minum dan penginapan semuanya kami uruskan sendiri, kecuali ground travel di Egypt kami dibantu oleh pelajar Malaysia di Universiti Al Azhar.

Rombongan kami kali ini terdiri dari 11 orang semuanya. 10 orang adalah ahli keluarga yang bermastautin di KL dan Selangor tetapi berpusat di ancestral home kami di Kg Pandan. Kami menggelarkan diri kami Kg Pandan Backpackers sejak kami mula mengembara berkumpulan pada tahun 2001.

Dalam rombongan ini saya yang paling senior, dipanggil Paklong. Yang lain-lain adalah Maklong (isteri saya), Pakcu (biras saya, isterinya adik Maklong), Makngah (adik Maklong), Makdi (adik Maklong), Wani dan Suhail (anak-anak Makdi),  Acudah (adik Maklong lagi), Yasmin dan Amir (anak-anak Acudah), dan Alya (backpacker jemputan, kawan Yasmin semasa di UiTM).

Bolehlah saya rumuskan kumpulan kami merupakan pertembungan di antara dua generasi: generasi tua dan generasi muda. Perbezaan dua generasi amat ketara semasa menggunakan smartphone 5G. Generasi tua akan menggigil dan meracau bila Internet dan Wasap tiba-tiba hilang.  Generasi muda akan  ambil phone tu dan settlekan issue dalam dua saat.  

Itinerari 

Susah betul nak mengeja "itinerari" ya. 

Seperti biasa saya dibuli dengan diberi tugas untuk membuat itinerari dan memburu tiket murah, atas alasan saya yang lebih berpengalaman (kata manis untuk yang paling tua dan unemployed).

Kerja ni berat sebenarnya, sebab ianya memerlukan kerja rumah dan kajian sepenuh masa. Ia boleh menyebabkan kemurungan berkali-kali dan perselisihan dengan Maklong juga bila siang malam saya mengkaji hingga lupa nak beli beras.

Nasib baik ada Pakcu, seorang usahawan yang sangat berpengalaman dan juga pengurus masjid terkenal di USJ.  Kami berdua banyak berbincang dan hal ehwal kewangan diserahkan kepada beliau. 

Kami tempah tiket penerbangan dengan Turkish Airlines pada 6 February untuk penerbagan pada 30 September, iaitu lapan bulan lagi. Tempoh lapan bulan ini agak panjang dan apa saja boleh berlaku. Sakit demam, anak tiba-tiba nak kahwin, suami tarik visa, Covid datang balik, perang dunia ketiga. Tiket kami pula non-refundable. Kalau tak jadi pergi, ianya akan terbakar hangus menjadi debu.  

Harga tiket adalah RM 2350 untuk keseluruhan perjalanan dari KL ke Istanbul, Istanbul ke Cairo dan Cairo balik ke KL. Harga termasuk beg 30 kg dan makan sampai kenyang. Harga ni saya rasa sangat berbaloi, sebab mengikut Pakcu harga tiket ke Lahad Datu pun sudah RM 1200, walaupun tak ada apa yang menarik di Lahad Datu..

Seperti biasa, untuk memudahkan perancangan dan perjalanan, kami banyak berhubung melalui WhatsApp group yang kami namakan "Cleopatra & Cappadocia".

Kalau ada yang tak sure di mana Turkiye dan Egypt walaupun tiket dah dibeli, boleh refer peta kat bawah ini. Ejaan rasmi Turkey sekarang sudah diubah kepada Turkiye, jangan tanya saya kenapa. Jelas perjalanan kami kali ini akan menyeberang tiga benua, iaitu Asia, Europe dan Africa.

       


KL Ke Istanbul - 30 September

Akhirnya hari yang dinanti-nantikan selama lapan bulan tiba jua. Alhamdulillah semua sebelas orang akan terbang. Penerbangan kami, Turkish Airlines (TK 63), berlepas dari KLIA jam 10.50 pagi. Bermulalah kembara kami di Turkiye dan Egypt. 

Seperti biasa saya akan membuat sedikit catatan atau travelog perjalanan kami. Saya berjanji tidak akan mencatat setiap peristiwa di sepanjang perjalanan kami, dikhuatiri ianya akan terlalu panjang dan you all akan leka membacanya sehingga terlupa membuat kerja-kerja utama seperti memasak, menidurkan cucu, membelai suami, atau menukar bateri kereta.

Oleh itu, saya akan memilih beberapa detik peristiwa dan kejadian yang terindah untuk diceritakan bersama sekeping dua gambar sebagai untuk hiasan dan mengusik ingatan.



Ankara, Anitkabir (Ataturk Memorial) - 1 Oktober

Ankara adalah ibu negeri Turkiye, sepertimana Ottawa ibu negeri Canada.

Kami mendarat di Istanbul jam 6 petang, 30 September, dan terus mengambil dua kereta yang kami tempah dengan Europcar di Istanbul Airport, iaitu Renault Traffic (9 seater) dan Fiat Egea Sedan. Kereta inilah yang kami guna untuk perjalanan kami sepanjang 1500 km di Turkiye.

Pakcu memandu van dengan Suhail sebagai co-pilot. Yasmin memandu Fiat Egea dibantu adiknya, Amir. Saya tidak dibenarkan rmemandu kerana umur melebihi 70 tahun. Sakit hati saya sebenarnya, sebab baru tahun lepas saya  memandu di Norway dan Sweden. Mungkin had umur ini berkuatkuasa bila Turkey menukar ejaannya kepada Turkiye.   

Dari Istanbul airport kami bertolak terus ke Ankara, 500 km ke arah barat. Selepas lima jam, kami tiba di Hotel Spor Ankara sekitar jam satu pagi. Selepas Turkish breakfast di hotel kami terus ke Anitkabir, iaitu memorial Mustafa Kemal Ataturk, pengasas dan presiden pertama Republik Turkiye. Di sini terdapat kuburnya dan juga museum peringatannya.  

Lama juga kami di sini mungkin kerana tempat ni tak ada bayaran masuk dan tak ada sekatan bergambar.  Tetapi security check di pintu masuk sangat ketat dan menakutkan sebab ada beberapa ekor anjing besar yang memerhati kami. Nasib baik pegawai sekuriti semuanya sangat tampan dan peramah, jadi kami pun agak tenang dan buat-buat tak pandang anjing tu.

Walaupun ini kali kedua saya ke memorial ini, saya masih terpegun. Bagi saya kecantikan memorial ini terletak pada senibina dan style yang simple, pastel tone yang suram atau sombre, dan horizontal layout tanpa terlalu banyak tangga, sesuai dengan Pakcu, Maklong dan Makngah yang menghidap sakit lutut tahap kronik.

Generasi muda (Wani, Yasmin, Suhail, Alya dan Amir) mengambil gambar tanpa henti. Rasanya mereka terus post kepada kawan-kawan atau cowok dan cewek mereka untuk melepas rindu walaupun baru sehari berjauhan. 




Cappadocia - 1 ke 3 Oktober

Lawatan ke Turkiye tidak lengkap kalau tidak ke Cappadocia. Seumpama ke Kelantan tanpa melawat Kg Laut.

Dari Ataturk Memorial kami terus ke Cappadocia, 300 km atau hampir empat jam ke arah Selatan Ankara. Kami tiba jam 4 petang dan terus checked in di Hotel Alphan.  Hotelnya kecil, tetapi kemas dan bersih. Penjaga hotel tak tau sepatah pun English. Saya pasti dia pun tak tahu cakap Kelantan.

Cappadocia adalah satu daerah pedalaman Turkiye yang terkenal dengan landskap, topografi dan scenery yang menakjubkan. Di sini kita boleh melihat fairy chimneys, rock castles, canyons, lurah curam, lembah dalam, dan beberapa bandar bawah tanah (underground cities) yang tidak lagi didiami.

Agak sukar untuk saya rakamkan sepenuhnya keindahan Cappadocia secara bertulis. Cara terbaik ialah datang dan lihat sendiri untuk menghayatinya, lebih molek dari udara dengan menaiki hot air balloons (HAB). 

HAB merupakan tarikan pelancong nombor satu di sini, tetapi harganya melampau,  boleh melebihi RM1000 seorang.  Tidak ada seorang pun di antara kami yang berminat. Mungkin mereka lebih berminat pergi ke Lahad Datu, sebab harganya pun hampir sama. 

Tetapi ramai yang berminat untuk pergi melihat balloons dilepaskan, biasanya di waktu awal pagi. Sebelum subuh lagi, Acudah dan generasi muda bergegas keluar menuju tempat HAB. Pakcu telah bermurah hati untuk menjadi driver dan bodyguard. Tinggal saya, Maklong dan Makngah saja  di hotel. 

Lebih kurang jam sembilan pagi, mereka pulang dan tersenyum lebar. Rupanya mereka tu pergi terlalu awal. Bukan sahaja awal, salah tempat juga. Tetapi mereka dapat juga mencari tempatnya di Sunset Viewpoint, dan terpukau bila menyaksikan berpuluh-puluh balloons berwarna warni diluncurkan ke udara. Dapat tengok pun cukuplah, nanti lain kali boleh datang lagi dan naik balloon bersama suami, tentunya lebih romantis.   

Sehari suntuk kami bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi, menikmati keindahan semulajadi Cappadocia. Kami sempat singgah di beberapa bandar kecil seperti Goreme, Uchisar dan Urgup.

Oh, tak lupa juga Ozkonak, iaitu sebuah bandar bawah tanah yang sudah tidak didiami lagi. Ada khabar angin tempat ni keras, saya tak pasti apa makna keras. Cuma lima orang saja yang berani masuk: saya, Acudah, Yasmin, Amir dan Alya.

Ruang dan lorong bawah tanah ni sangatlah sempit, saya terpaksa merangkak dan menguruskan badan. Menarik di sini, ada dapur, kamar tidur, dan corong udara. Selepas 20 minit di bawah kami dah mula tercungap-cungap. Acudah yang pada mulanya berkobar-kobar, kini kelu tanpa sepatah kata. Bila teranampak saja pintu keluar, cepat-cepat kami merangkak keluar tidak menoleh lagi hahaha. 








Bursa - 3 ke 5 Oktober

Walaupun belum puas melihat Cappadocia, kami terpaksa bertolak menuju ke Bursa mengikut jadual. Bursa ialah ibukota lama Kerajaan Uthmaniyah, 650 km ke arah Timur.

Perjalanan memakan masa tujuh jam, termasuk satu jam untuk mencari homestay kami di kawasan Osmangazi. Waze membawa kami mengikuti celah-celah bangunan dan melalui lorong-lorong curam dan sempit yang hanya cukup untuk satu kereta. Keadaan kami masa tu seperti telur di hujung tanduk. Kami menahan nafas setiap kali kereta berselisih.

Akhirnya sampai juga di homestay, rumahnya luas dan selesa, cukup kemudahan dan peralatan untuk Pakcu terus memasak dan yang lain menunggu untuk makan. 

Ternyata Bursa adalah kota lama yang sangat indah, dipenuhi dengan bangunan-bangunan dan mercu tanda  bersejarah. Kami ada satu hari setengah di Bursa yang kami penuhi dengan lawatan ke Grand Bazaar, Grand Mosque, Green Mosque, dan pasar Koza Han.

Saya dan Maklong sempat membeli beberapa helai baju di sebuah kedai bayi di Grand Bazaar untuk cucu kami yang akan lahir pada bulan Disember nanti. Lama juga kami di kedai ni. Sekali lagi saya sesak nafas sebab Maklong seperti nak menyapu bersih barang-barang kat kedai tu.

Sebelum ni kami ada terbaca Kebab yang original dan terbaik di seluruh Turkiye terdapat di Bursa. Namanya Iskander Kebab. Masalahnya hampir semua kedai makan di sini bernama Iskander Kebab, jadi sukar untuk kami pastikan yang mana satu Iskander Kebab yang asli. Takut kena scam, saya, Maklong dan Pakcu makan di kedai yang namanya bukan Iskander Kebab.

Bagi saya tempat yang paling saya sukai di Bursa ialah Cumalikizik, iaitu sebuah kampung kuno berumur 700 tahun, terletak 12 km di luar kota Bursa. Di sini kami dapat lihat deretan bangunan lama dengan senibina tradisional separuh papan yang berwarna-warni tetapi masih tegap berdiri. Jalan-jalannya dibina dari cobble stone, teguh tetapi tidak rata.  Sepanjang jalan terdapat pasar yang menjual buah-buahan, kuih-muih, jam, barang-barang antik dan souvenirs. Saya cuma membeli bahan utama breakfast saya, iaitu strawberry jam, murah dan homemade.

Saya terserempak dengan Acudah di sebuah kedai souvenirs. Sambil ketawa dia memberitahu saya Makcik owner kedai tu berbisik dan pesan jangan bagitau orang lain harga souvenir yang dia beli, sebab terlalu murah. Harga tu istimewa untuk dia sahaja. Padahal harga tu sama  saja dengan kedai-kedai lain, mungkin lebih mahal. Walaupun sudah 700 tahun umur kampung ni, gimik sebegini masih lagi digunakan hahaha.    

Di Cumalikizik, masa seperti tidak bergerak. Mundar-mandir dan menapak dari satu warung ke satu warung lain sudah cukup untuk kita merasai suasana tenang dan budaya Turkiye sejak tujuh kurun lalu. Tempat ni saya rate 10/10.







Istanbul - 5 ke 7 Oktober

Dari Bursa, kami bertolak balik ke Istanbul, dengan jarak cuma 150 km atau dua jam perjalanan. Ini merupakan last leg kami di Turkiye. Kedua-dua driver kami, Pakcu dan Yasmin, pun sudah dapat menyesuaikan diri dengan traffic di sini, terutamanya dengan steering dan brek di sebelah kiri, dan co-pilot yang berdengkur di sebelah kanan. 

Saya perhatikan memandu di highway Turkiye lebih selesa dan tenteram ketimbang highway di Malaysia sebab kenderaan berat di sini lebih sopan dan patuh had laju. Sepanjang 1500 km, tidak sekali pun kami terserempak dengan Mat Rempit. Betapa damainya dunia tanpa Mat Rempit.

Kami tiba di pusat bandar Istanbul pada jam empat petang, dan terus checked in di hotel Ulusoy Old City yang terletak di daerah Kumkapi, cuma dua stesen metro saja dari pusat pelancongan, Sultanahmet. Harga hotel memang mampu milik dan biliknya luas dan bersih. Cuma tak ada lift dan tangganya gelap dan curam. Makngah berhenti rehat empat kali sebelum sampai ke biliknya di tingkat dua. Lepas tu dia tidak turun-turun lagi sehinggalah pagi esok.

Sebenarnya ini kali kedua saya di Istanbul. Kali pertama pada tahun 2022, sebaik saja PKP berakhir. Saya bersama Maklong, anak perempuan kami (Aida, Sarah) dan Makngah mengikuti package Travel Agent Sri America. Masa tu bulan puasa dan kami berhari raya di Cappadocia.

Namun kunjungan ke Istanbul kali ini lebih exciting dan mencabar, sebab kami mengembara secara DIY -  tak ada tourist guide dan bas untuk menolong kami. Kami beli Istanbulkart pass dan bergerak dengan menggunakan Metro dan Tram sahaja. Amat mudah sebenarnya cuma kita mesti pastikan destinasi kita dan stesen mana yang terdekat. Kami tak gunakan taxi langsung

Oleh kerana citarasa dan tujuan yang berlainan, kumpulan kami berpecah mengikut umur. Saya, Maklong, Makngah dan Pakcu santai-santai saja. Selepas breakfast, kami terus saja ke Sultanahmet untuk masuk ke Hagia Sophia dan Blue Mosque untuk kali kedua. Tetapi kami terpaksa batalkan hasrat kerana queue terlalu panjang, dan bertukar arah ke Grand Bazaar dan Spice Bazaar. Di sini pun crowdnya bertali arus, entah dari mana datangnya mereka ni. 

Generasi muda lebih aggressive dan bertenaga. Sehari suntuk mereka berjalan ke segenap pelusuk Istanbul, makan apa saja yang ternampak, naik cruise Bosphorus, mendaki Galata Tower, menonton tarian Sufi, dan membeli-belah di Oriental Gifts Shop yang dicari hampir empat jam tetapi indah khabar dari rupa.

Saya hampir tak percaya apa yang saya lihat di dataran berdekatan Spice Bazaar. Makdi, Acudah, Yasmin dan Wani berdiri memegang sepanduk Free Palestine, Stop Genocide, Ceasefire Now - mereka ni sempat berdemonstrasi bersama kumpulan anti-Israel yang kebetulan berkumpul di situ. Siapa sangka ya Wani yang lemah lembut tu pun ikut serta mengutuk Israel. 

Saya tidak pasti samada ini kali pertama pelancong Malaysia tunjuk perasaan di Istanbul. Saya harap semua ini tidak melanggar undang-undang Turkey. Bimbang juga ya,  kalau kena tangkap, saya dan Pakcu lah yang kena nego dengan Erdogan hahaha

     





Istanbul Airport  - 7 ke 8 Oktober

Jam lapan malam, 7 Oktober,  kami bergerak dari hotel ke Istanbul Airport dengan sebuah van 13 seater, dan tiba di airport sejam kemudian. Check-in dan imigresen berjalan lancar tanpa sebarang insiden. Cuma beg Amir dan Alya melebihi had berat 23 kg. Saya tak pasti apa yang mereka bawa, mungkin batu-batan yang di kutip dari Ozkonak underground city di Cappadocia.

Tepat jam 2.20 pagi, 8 Oktober,  penerbangan  kami Turkish Airlines TK 692 berlepas dari Istanbul menuju ke  destinasi kedua kami, iaitu Cairo. 

Selamat tinggal, Turkiye. 


Note:

Saya sedang menulis Cleopatra & Cappadocia (Part 2) yang merupakan catatan perjalanan kami di Egypt. Bila siap nanti,  saya akan siarkan di sini. 

Saya lampirkan beberapa foto yang kebanyakannya "dipukul" oleh generasi muda. Ternyata mereka ni sangat berbakat dan expressive. Enjoy!           

 

                         KLIA: Suami Hantar Ke Airport. Sayang Jugak Rupanya 


                                                  
                                                   KLIA:    Bye, Bye Malaysia Madani


                                                        
                                     Istanbul Airport: Lama Argue Dengan Car Rental




                                                  Ankara, Ataturk Memorial: Dressed To Kill Depa Ni



                               Ankara, Ataturk Memorial: Senyum Sebab Lutut Sakit



                                      
                                              Ankara, Ataturk Memorial: Anit Di Anitkabir
                                         




                        Cappadocia, Hotel Alphan:  Paklong Suka Tengok Pokok-Pokok Bunga Ni





                    Cappadocia: Serombong Pari-Pari (Fairy Chimneys).   



                                         Cappadocia:  Uchisar  Ke Goreme? Dah Lupa



                                                   Cappadocia: Ni Pun Pari-Pari 




                                       Cappadocia: Teka Tangan Siapa Ni? 




Cappadocia: Adik Beradik Berbincang Sejak Dari Kg Pandan Lagi




                                                 Cappadocia: Ni Level Pro, Amir                  



Cappadocia: Siung, Yaaaaa !



                         Cappadocia, Ozkonak Undergound City: Depa Ni Takut Sebenarnya 





                       Cappadocia, Ozkonak Undergorund City: Berani Turun Sebab Ada Paklong



                                 Bursa, Cumalikizik: Jenuh Cari Turbine, Tapi Tak Jumpa. 



                            Bursa, Cumalikizik: Dari Jauh Datang, Minum Air Mineral Saja. 




                                   Bursa, Cumalikizik: Teringat Kg Laut




                                                         Bursa: Homestay Orang Kelantan.  




                                                Bursa: Koza Han Silk Market. Tengok-Tengok Saja.



                                                      Bursa: View Dari Homestay. 



                                                 Bursa: Green Mosque. Hampir Sama Rupa Paras.




                                          Bursa, Green Mosque: Ganteng Juga Depa Ni Ya



                             Bursa, Green Mosque. Dia Ingat Kat Sini Pun Dia Siak 

                              

                                                    Bursa: Kaki Ke Depan Tu Style BTHO ke?



                       Bursa: Berebut-Rebut Depa Ni Nak Bergambar Dengan Paklong 



                               Bursa Grand Bazaar. Pakcu Tetap Happy Walaupun Kena Scam  



                                               Tak Sure Kat Mana Ni, Tapi Bukan Kg Pandan  



                                            Ni Pun Tak Sure Kat Mana, Tapi Tetap Exotic



                             Istanbul: Sempat Berguling-Guling. Memang Hebat. Kudos !   
  



                                Istanbul, Galata Tower:  Pakai Baju Shakhir Ke, Acudah?


                      Istanbul, Grand Bazaar: Kami Berjalan Cepat-Cepat, Takut Scammer. 



                               Istanbul:  Kalau Menari Macam Ni, Paklong Pun Boleh.




                                               Istanbul: Superb Photography. Burung Terbang. Like.